• Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tahniah Fouziah Hamil tiga bulan,  berhasrat puasa penuh... UMUM sedia mengetahui berita kehamilan pengacara baharu Nona, Fouziah Gous yg kini sudah pun berusia hampir 4 bulan.

Justeru, pertama kali menjalani ibadah puasa pada awal kehamilan, akui Fouziah, dia berhasrat utuk berpuasa penuh.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd Gous ini, dia berharap agar dirinya & bayi dalam kandungannya berada dalam keadaan sihat bagi membolehkan dia berpuasa sepanjang bulan mulia ini.

"Insya-ALLAH, saya akan cuba berpuasa penuh, malah sebelum Ramadan bermula, saya ada mencuba utuk berpuasa memandangkan ini kali pertama saya berpuasa sebagai wanita hamil.

“Namun beberapa hari sebelum Ramadan, saya perlu menghadiri pelbagai program dan tidak sempat berehat lagi, justeru tidak berkesempatan mahu berlatih berpuasa.

“Tapi, saya berharap semuanya akan baik-baik belaka,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya bersama suami sebagai duta terbaharu rangkaian pewangi Enchanteur Love, baru-baru ini.

Bagaimanapun, akui Fouziah, dia agak bimbang untuk berpuasa memandangkan selera makannya bertambah dan berasa cepat loya sekiranya perut kosong.

Tambahnya, dia akan cuba mempersiapkan diri bagi memastikan masalah tersebut tidak berulang.

“Sejak mengandung, selera makan saya memang kuat, dan berbeza dengan wanita mengandung lain selalunya akan muntah bila makan, tetapi saya akan muntah jika tidak makan.

“Perkara itu merisaukan saya nanti. Takut muntah-muntah pula apabila perut kosong.

“Tapi saya akan cuba memastikan diri saya mampu menjalani ibadah puasa dan mengambil makanan dengan jumlah nutrisi yang mencukupi termasuk mengamalkan pengambilan suplemen yang berasaskan sarang burung, My Walet Bird Nest, iaitu produk syarikat saya sendiri.

“Ia bukan sahaja dapat memberikan tenaga, tetapi turut baik untuk menguatkan paru-paru saya dan bayi.

“Bahkan, ibu mertua saya juga awal-awal lagi sudah menyediakan kurma Madinah yang diletakkan di atas katil bilik saya,” katanya yang turut mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa.

Selain makanan tambahan, Fouziah turut memilih untuk berehat sepanjang Ramadan ini daripada menjalani sebarang aktiviti seni.

“Kebetulan tugas saya sebagai pengacara program Nona pula sudah banyak diselesaikan rakamannya sebelum Ramadan. Cuma ada satu episod Nona saja yang akan dirakamkan semasa bulan puasa nanti.

“Oleh itu, sepanjang Ramadan ini, jadual saya lebih lapang dan bolehlah saya berehat dan berpuasa bersama keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fouziah yang menjadi duta terbaharu rangkaian pewangi Enchanteur Love bersama suaminya, Md Zhafran Md Yusof melahirkan rasa syukur dan teruja kerana buat pertama kalinya menjadi duta produk bersama suami.

“Ini kali pertama saya dan suami menjadi duta produk bersama, selalunya saya sendiri sahaja. Rasa gembira lain macam.

“Suami juga tidak kekok ketika berhadapan dengan khalayak kerana dia sudah biasa dengan keadaan itu,” katanya.